Jumaat, 13 April 2012

Perlantikan Seri Karaengan

PERLANTIKAN SERI KARAENGAN:

(1)  SYARAT-SYARAT KELAYAKAN SESEORANG INDIVIDU:-
  • Lelaki yang berumur 21 tahun ke atas dan beragama Islam.
  • Tidak dikira sama ada Warganegara Malaysia atau Bukan Warganegara yang berasal muasal dari keluhuran Se Nusantara.
  • Memiliki perakuan sah menurut Hukum/Undang-undang berdasarkan Adat Budaya keturunannya sebagai seorang Raja atau Sultan atau Ketua Pewaris Kerajaan atau Ketua Pewaris Kesultanan atau Keraton atau Kerabat atau dari susur galur Kekeluargaan Pewarisan yang sah/benar menurut suatu Perakuan atau Surat Kuasa atau Watikah Pengiktirafan sepertimana yang dikehendaki dan dipersetujui oleh Majlis Sidang Penasihat.

(2)  HAK DAN KEISTIMEWAAN SEBAGAI SERI KARAENGAN:-
  • Seseorang individu yang sah dilantik memegang jawatan pada suatu tempoh yang ditetapkan itu dikenali dengan panggilan "Seri Paduka Baginda" atau ringkasnya SPB.
  • SPB dibenarkan memakai pakaian rasmi adat budaya dan taraf kedudukan kekerabatannya semasa Majlis Adat berlangsung.
  • Boleh juga Seri Paduka Baginda memberikan sebarang Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat bagi pihak kerajaan atau kesultanan atau kekerabatan pewarisannya kepada mana-mana calon atau orang-orang yang dikira layak menerimanya.
(3)  TUGAS-TUGAS SEBAGAI SERI KARAENGAN
  •  Menghadirkan diri dalam semua majlis rasmi/adat dan menyampaikan penganugerahan iaitu Bintang, Pingat dan Watikah (surat-surat kepujian/penghargaan) kepada calon-calon yang bakal penerima Darjat Kehormatan dari Pertubuhan.
(4)  KEMUDAHAN-KEMUDAHAN DAN LAYANAN TETAMU KEHORMAT:-
  • Tambang percuma pergi balik bagi SPB dan tiga (3) orang pengiring, sama ada pesawat udara, laut atau daratan.
  • Kenderaan mewah kegunaan peribadi bersama pemandu khas dan pengawal keselamatan, selama tempoh Majlis Adat secara percuma.
  • Penginapan hotel mewah atau banglo khusus serta penyediaan makanan/minum percuma.
  • Dan lain-lain kemudahan yang bersesuaian.
(5)  PEMBERIAN IMBUHAN BALAS JASA DAN UPAH:-
  • Pemberian imbuhan balas jasa dan upah bukanlah sebagai bayaran perkhidmatan atas pekerjaannya, seungguhpun pemberian itu dalam bentuk wang, hadiah, cenderhati atau saguhati dan lain-lain, ia adalah sebagai suatu penghormatan atas sokongan dan kerjasama pihaknya.
PERLANTIKAN SECARA PENGILIRAN:
  • Seseorang individu yang telah sah melalui Watikah Perlantikan dari Pertubuhan tetapi masih belum menerima jemputan di mana, perlantikannya masih sah kekal sehingga ditamatkan kerana jemputan bagi Tetamu Kehormat dibuat secara pengiliran.
HAL-HAL LAIN:
  • Seseorang individu yang sah dilantik menurut Watikah Perlantikan itu boleh dilucutkan daripada jawatanya oleh Majlis Sidang Penasihat oleh sebab uzur kerana penyakit, tidak siuman, tidak mematuhi atau melanggar Undang-undang/Perlembagaan Pertubuhan atau negara atau kerana sebab lain yang mengakibatkan ia tidak dapat menjalankan tugasnya. Ia akan digantikan kepada anggota baru yang berikutnya melalui keputusan Mesyuarat Sidang Penasihat secara muktamad.

Kewangan

KEWANGAN:
  • Sumber kewangan Biro Mangku Adat adalah melalui dana Tabung Kewangan yang diputuskan semasa Mesyuarat Agung.
  • Biro juga boleh memperoleh kewangan melalui aktiviti.
  • Ahli-ahli yang bersetuju menyertai kativiti yang memerlukan perbelanjaan besar boleh dikenakan derma khas bagi membiayai aktiviti tersebut.
  • Semua pungutan/penyimpanan wang hendaklah dimasukkan ke dalam Akaun Biro, sekiranya mendapat kebenaran Pertubuhan.

Rabu, 11 April 2012

Tugas dan Tanggugjawab Yang Mangku Adat

TUGAS DAN TANGGUNGJAWAB JAWATANKUASA BIRO MANGKU ADAT

1.  PEMANGKU ADAT (Pengerusi)
  • Mempengerusikan semua mesyuarat dan bertanggungjawab atas kesempurnaan semua mesyuarat.
  • Meneliti catatan minit mesyuarat dan memastikan segala keputusan yang diputuskan diambil tindakan yang sewajarnya.
  • Menjalankan tugas-tugas lain yang berkaitan dari masa ke semasa.
2.  PENGHULU BALAI ADAT (Naib Pengerusi)
  • Membantu pengerusi (Pemangku Adat) dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diberi.
  • Mempengerusikan mesyuarat semasa ketiadaan pengerusi (Pemangku Adat).
  • Menjalankan tugas-tugas lain yang diarahkan oleh Pemangku Adat.
3.  PENGGAWA KANAN (Setiausaha)
  • Menguruskan hal-hal surat menyurat.
  • Mencatat dan menandatangani minit mesyuarat/laporan kegiatan-kegiatan.
  • Mencatat kehadiran ahli jawatankuasanya.
  • Menyimpan dokumen yang berkaitan dengan Biro Mangku Adat.
  • Menjalankan tugas-tugas lain yang diarahkan oleh Pemangku Adat.
4.  PENGGAWA KIRI (Penolong Setiausaha)
  • Membantu setiausaha (Penggawa Kanan) dalam menjalankan segala tugas dan tanggungjawabnya.
  • Menjalankan tugas tugas setiausaha (Penggawa Kanan) sewaktu ketiadaan Penggawa Kanan.
  • Menjalankan tugas-tugas lain yang diarahkan oleh Pemangku Adat.
5.  SERI BIJAYA (Bendahari)
  • Bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan Biro Mangku Adat.
  • Membantu dan menyimpan kira-kira berkenaan semua perkara kewangan dan bertanggungjawab di atas kesahihannya.
  • Menyediakan Penyata Kira-kira bulanan dan tahunan serta menandatanganinya.
  • Melaporkan kedudukan kewangan sekiranya diminta di dalam mesyuarat ahli jawatankuasa.
  • Menyedikan Laporan Kewangan untuk diaudit.
  • Menjalankan tugas-tugas lain yang diarahkan oleh Pemangku Adat.
6.  BENTARA KANAN (Ahli Jawatankuasa Biasa)
  • Membantu menjalankan tugas dalam segala program dan aktiviti yang dilaksanakan.
  • Menjalankan tugas-tugas lain yang diarahkan oleh Pemangku Adat.
7.  BENTARA SETIA (Pemeriksa Kira-Kira)
  • Memeriksa, menyemak serta mengesahkan Laporan Kewangan tahunan dan bertanggungjawab keatasnya.
  • Memastikan pengurusan kewangan diuruskan dengan betul.

Selasa, 10 April 2012

Susunan Darjat Kehormatan

SENARAI DARJAT BINTANG DAN PINGAT KEHORMATAN YANG DIWARTAKAN

Darjat-Darjat Bintang:-

1.  BINTANG KEJAKSAAN TERTINGGI SERI KARAENGAN (B.K.T)
2.  BINTANG KEJAKSAAN JASA SERI KARAENGAN (B.J.K)
3.  BINTANG KEJAKSAAN BAKTI SERI KARAENGAN (B.B.K)
4.  BINTANG KEJAKSAAN SERI KARAENGAN (B.S.K)

Darjat-Darjat Pingat:-

1.  PINGAT JASA BAKTI SERI KARAENGAN (P.J.B)
2.  PINGAT JASA SUKARELAWAN (P.J.S)
3.  PINGAT BAKTI SUKARELAWAN (P.B.S)
4.  PINGAT PERKHIDMATAN SUKARELAWAN (P.S)

Watikah:-

1.  WATIKAH KEPUJIAN/PENGHARGAAN

DEFINISI DAN PENERANGAN SECARA LENGKAP

DARJAT BINTANG-BINTANG:-

1.  BINTANG KEJAKSAAN TERTINGGI SERI KARAENGAN (B.K.T)

Bintang ini diberi kepada Sultan atau Raja atau Ketua Pewaris Kerajaan atau Ketua Pewaris Kesultanan atau Presiden atau Yang Dipertua atau Pengerusi yang dikira sesuai oleh Seri Karaengan dan Penerima Bintang ini merupakan Ahli Kejaksaan yang paling tinggi di Balla Lompoa dan ianya dikelaskan sebagai orang yang amat dihormati dan amat disanjungi.

2.  BINTANG KEJAKSAAN JASA SERI KARAENGAN (B.J.K)

Bintang ini diberi kepada Sultan atau Raja atau Pewaris Kerajaan atau Pewaris Kesultanan atau Kekerabatan atau pun Kekeluargaan yang sentiasa menjalinkan hubungan baik dan kerjasama dengan Balla Lompoa dan juga sentiasa membantu Balla Lompoa melalui pelbagai cara untuk tujuan pembangunan dan pengembangan kebudayaan Bugis yang difikirkan layak oleh Seri Karaengan dan beliau ini amatlah dihormati dan disanjung tinggi.

3.  BINTANG KEJAKSAAN BAKTI SERI KARAENGAN (B.B.K)

Bintang ini diberi kepada Sultan atau Raja atau Pewaris Kerajaan atau Pewaris Kesultanan atau Kekerabatan atau Kekeluargaan atau Kepimpinan suatu Badan atau Organisasi yang sentiasa menyumbangkan bakti secara sukarela melalui kebajikan dan juga sentiasa membantu Balla Lompoa melalui pelbagai cara untuk tujuan pembangunan dan perkembangan kebudayaan, kesenian dan warisan yang dikira sesuai oleh Seri Karaengan dan Penerima Bintang ini amatlah dihormati dan disanjungi.

4.  BINTANG KEJAKSAAN SERI KARAENGAN (B.S.K)

Bintang ini diberikan kepada mereka yang memberikan perkhidmatan secara sukarela kepada Balla Lompoa dan sentiasa membantu Balla Lompoa tidak kira dari apa-apa bidang yakni bidang tenaga atau pun bidang pengelolaan kebudayaan, kesenian dan warisan dan dikira telah menyumbangkan jasa baktinya dan difikirkan sesuai oleh Seri Karaengan.

 DARJAT PINGAT-PINGAT:-

1.  PINGAT JASA BAKTI SERI KARAENGAN (P.J.B)

Pingat ini diberikan kepada mereka yang menyumbangkan jasa bakti secara sukarela dalam bidang warisan atau adat budaya atau keseniaan atau kesusateraan tidak kira sama ada kepada kebudayaan Bugis atau kebudayaan tradisi kebudayaan keturunannya atau apa jua bidang sosial kemasyarakatan dan difikirkan sesuai oleh Seri Karaengan.

2.  PINGAT JASA SUKARELAWAN (P.J.S)

Pingat ini diberi kepada mereka yang pernah berjasa atau mereka yang boleh menyumbang secara sukarela kepada Balla Lompoa atau kepada tradisi kebudayaan keturunannya atau apa jua bidang sosial kemasyarakatan yang dikira sesuai oleh Seri Karaengan.

3.  PINGAT BAKTI SUKARELAWAN (P.B.S)

Pingat ini diberi kepada mereka yang sudah berbakti atau mereka yang sedang meneruskan daya usaha untuk menyumbang bakti kepada Balla Lompoa atau kepada tradisi kebudayaan keturunannya atau apa jua bidang sosial kemasyarakatan yang difikirkan sesuai oleh Seri Karaengan.

4.  PINGAT PERKHIDMATAN SUKARELAWAN (P.S)

Pingat ini diberi kepada mereka yang berjasa dan berbakti melalui perkhidmatan secara sukarela kepada masyarakat dan semuanya terutama kepada Balla Lompoa yang dikira sesuai oleh Seri Karaengan.

WATIKAH:-

1.  WATIKAH KEPUJIAN/PENGHARGAAN

Diberi kepada mereka yang dikira sesuai menerimanya oleh Seri Karaengan sebagai contoh mereka yang cemerlang dalam bidang kesukarelawan atau kebudayaan atau bidang akademik atau bidang sukan atau apa-apa jua bidang boleh dipertimbangkan untuk menerima sijil berupa Watikah Kepujian/Penghargaan ini jika dipersetujui oleh Seri Karaengan.

Siapa Seri Karaengan?

Seri Karaengan ialah seseorang individu yang difikirkan layak untuk dilantik oleh Sidang Penasihat Balai Bicara (Balla Lompoa) sebagai seorang PENAUNG atau PENASIHAT atau kedua-duanya yang bukan dikalangan ahli pertubuhan ini. Ia adalah dipertimbangkan dari segi status kedudukannya dan kepakarannya yang berkaitan kebudayaan, kesenian dan warisan. Beliau mempunyai kuasa mutlak memutuskan sesiapa calon yang layak untuk diberikan penganugerahan itu sebagai contoh, seseorang individu yang bergelar Sultan atau Raja atau Ketua Pewaris Kerajaan atau Ketua Pewaris Kesultanan atau Kekerabatan atau pun Kekeluargaan, sama ada dari Malaysia atau luar negara dan segala keputusannya berkaitan penganugerahan itu adalah muktamad.

Di sini, Sidang Penasihat Balai Bicara (Balla Lompoa) hanya bertanggungjawab untuk mencadangkan dan menyokong calon yang berkenaan dan bertugas mengelolakan acara dan upucara bagi kesempurnaan majlis penganugerahan.

Mengikut Fasal 14(1) berkaitan Penasihat/Penaung yang berbunyi seperti berikut:-

"Jawatankuasa boleh, jika difikirkan perlu, melantik orang-orang yang layak menjadi Penasihat/Penaung bagi Pertubuhan ini dengan syarat orang yang dilantik itu menyatakan persetujuan secara bertulis terlebih dahulu".

Isnin, 9 April 2012

Apa itu? BALAI BICARA

BALAI BICARA adalah bermaksud "Balla Lompoa" dalam bahasa Bugis Makassar, Sulawesi Selatan, Indonesia ertinya ialah sebuah Rumah Besar atau Rumah Kebesaran. Balai Bicara adalah suatu tempat untuk mengadakan mesyuarat, acara dan upucara yang berkaitan adat dan budaya kekeluargaan masyarakat suku Bugis. Ia juga menjadi tempat untuk menganjurkan aktiviti bercorak kebudayaan bagi memelihara tradisi kebudayaan keturunan Bangsawan Bugis atau juga disebut "Kekaraengan Bugis" atau lebih jelas disebut "Kekeluargaan Bangsawan Bugis". Balai Bicara ini, diketuai oleh seorang Yang Dipertua sebagai pengelola yang mentadbir dan mengurus hal ehwal rumah tangganya. Manakala, segala hal ehwal berkaitan adat dan istiadat pula diketuai oleh seorang Pemangku Adat yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan berkaitan Majlis Adat Lontar Kekaraengan Bugis.

Maksud "Lontar" ialah suatu Singahsana Raja dan Bangsawan Bugis atau lebih jelas disebut "Balai Rong Seri" di sini, Majlis Adat Lontar Kekaraengan Bugis juga dijalankan, bagi menyesuaikan dengan setuasi semasa, hari ini maka, sebarang majlis rasmi diadakan di tempat seperti dewan besar dalam sebuah hotel atau tempat-tempat yang difikirkan sesuai untuk mengadakan keramaian tersebut. Jawatankuasa Sidang Penasihat yang terdiri daripada Ahli-ahli Jawatankuasa Pertubuhan adalah bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan Balai Bicara. Setiap program dan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan akan diurusetiakan oleh biro-biro yang dilantik oleh Pertubuhan ini.

Sesungguhnya, Balai Bicara mempunyai fungsi dalam melaksanakan perananya yang amat besar bagi menjayakan tujuan dan matlamat Pertubuhan ini.

TATACARA, SYARAT DAN PERATURAN-PERATURAN KHAS

TATACARA, SYARAT DAN PERATURAN-PERATURAN KHAS SEMASA MENGHADIRI MAJLIS ADAT DI BALAI BICARA SIDANG PENASIHAT:

(1)   Tidak dibenarkan sama sekali kepada mana-mana individu yang menghadiri Balai Bicara Sidang Penasihat mengenakan sebarang Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat selain daripada yang dianugerahkan oleh Seri Karaengan dan pemakaian hendaklah mematuhi Tatacara & Protokol yang digariskan oleh Seri Karaengan serta dilarang membawa dan memakai sebarang senjata atau seumpamanya selain dari keris kecil adat-beradat yang sentiasa diikat bersilang-silang pada pangkal hulunya dengan kain berwarna kuning sepertimana yang telah ditetapkan oleh Majlis Adat.

(2)   Untuk calon-calon (Lelaki) yang bakal Penerima Anugerah hendaklah memakai baju resmi adat iaitu Baju Melayu berwarna Hitam dan memakai kain samping Songkit berjahitan Benang Emas juga bewarna Hitam dan bagi calon-calon (Perempuan) hendaklah memakai Baju Kurung bewarna Hitam dan bertudung bewarna Putih atau berselendang bewarna Putih. Manakala, Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan Jawatankuasa-Jawatankuasa Kecil/Biro adalah dikhaskan mengikut kaedah dan cara-cara berpakaian mereka sepertimana yang ditetapkan oleh Majlis Adat.

(3)  Seseorang Individu (Lelaki) yang dijemput menghadiri Balai Bicara Sidang Penasihat hanya dibenarkan memakai satu (1) Pingat sahaja, iaitu Pingat yang paling tinggi yang pernah diterimanya dan hendaklah disematkan pada bahagian dada kanan, baju rasmi adat dan hanya dibenarkan memakai satu (1) Bintang keutamaan sahaja dan hendaklah disematkan di bahagian atas Pingat berkenaan. Manakala, pengikat rantai kompas (penujuk arah kiblat) atau jam (poket) yang berwarna keemasan hendaklah sentiasa bersangkut pada kocek baju rasmi adat di bahagian kiri dan jurainya anak bintang berbucu lapan sentiasa terlepas dari butang utama. Tidak dibenarkan sama sekali memakai sebarang selempang termasuk selimpang yang pernah dikurniakan kepadanya, sepertimana yang ditetapkan oleh Majlis Adat.

(4)   Seseorang individu (Perempuan) yang dijemput menghadiri Balai Bicara Sidang Penasihat, hendaklah memakai pakaian iaitu Baju Kurung bewarna Hitam dan dilarang sama sekali, memakai sebarang Pingat melainkan, mereka yang dianugerahkan selempang kurniaan dan dibenarkan hanya memakai satu (1) Bintang keutamaan sahaja yang disematkan pada bahagian bawah ikatan pangkal selempang berkenaan. Selempang kurniaan hendaklah sentiasa berada atas bahu kanan dan menghala ke bawah pinggang kiri sepertimana yang ditetapkan oleh Majlis Adat

(5)   Mana-mana tetamu jemputan umum yang menghadiri hendaklah memakai baju Melayu dan bersongkok juga bersamping bagi Lelaki dan berpakaian baju kurung dan bertudung atau berselendang bagi Perempuan sepertimana ditetapkan oleh Majlis Adat.

(6)   Mana-mana tafsiran selain, daripada yang disebutkan dalam Tatacara, Syarat dan Peraturan-peraturan Khas di atas adalah tertakluk di bawah keputusan Majlis Adat.